Jom Menjejaki Mutiara Berharga Di Bumi Palestin
Nama Syeikh Ahmad Yassin bukanlah asing kepada umat islam seluruh dunia, apatah lagi yang sering mengikuti perkembangan mutakhir di bumi Anbiya’ (Palestin), ia merupakan satu nama besar yang digeruni oleh bangsa Yahudi yang berusaha untuk menghapuskannya walaupun dalam keadaan fizikalnya yang tidak normal seperti manusia lain. Pemikirannya yang matang dalam isu yang membebaskan bumi Palestin daripada penjajahan yahudi amat jelas, hingga dianggap sebagai seorang yang memiliki kepakaran dalam menghadapi rejim Yahudi yang rakus, kemampuannya dalam membaca strategi musuh menarik minat beberapa individu atau tokoh di kalangan ilmuan Islam menyertai (HAMAS) seperti As-Syahid Dr. Abdul Aziz Rantisi, Ismail Haniyeh, Khaled Masyal dan lain-lain. Semoga Allah merahmati mereka…
Biografi Kehidupan Awal Syeikh Ahmad Yassin
Syeikh Ahmad Yassin telah dilahirkan di sebuah kampung bernama al-Jora, daerah Majdal di dalam wilayah Asqalan pada tahun 1938, dia telah dibesarkan di sana sehingga tahun 1948 ketika pendudukan pengganas yahudi ke atas bumi palestin, dia dan keluarga terpaksa berhijrah ke semenanjung Gaza.
Beliau membesar sebagai seorang pelajar yang cemerlang di dalam pelajarannya dan beliau amat disayangi oleh guru-gurunya ketika berada di sekolah. Beliau juga merupakan seorang ahli sukan yang aktif pada zaman persekolahannya. Di zaman mudanya beliau telah ditimpa kemalangan, di mana beliau mengalami lumpuh pada bahagian kakinya. Keadaannya yang lumpuh itu tidak menghalang beliau untuk meneruskan kecemerlangan di dalam bidang pelajaran dan juga aktivi-aktiviti islam.
Pada tahun 1964 beliau telah melanjutkan pelajaran di Universiti Ain Shams di Kaherah. Pengajiannya di Universiti tersebut walaubagaimanapun tidak sampai ke hujungnya apabila beliau telah dipenjarakan selama sebulan oleh pihak berkuasa Mesir kerana penglibatannya dengan pertubuhan IKHWAN MUSLIMIN pada tahun 1966.
Lebih dahsyat lagi beliau telah dihantar pulang ke Gaza oleh pihak berkuasa Mesir tanpa sempat menamatkan pengajiannya. Ujian yang getir ini tidak sedikit pun membunuh semangatnya untuk terus bergerak aktif dalam pertubuhan tersebut untuk memperjuangkan Islam dan dakwah Islamiyyah. Kepulangannya ke Gaza telah menyaksikan bagaimana beliau bergerak aktif memperjuangkan Islam sebagai guru bahasa arab dan juga Khatib di Masjid Gaza. Dalam tempoh yang singkat sahaja beliau telah menjadi terkenal di kalangan penduduk Gaza dengan khutbah-khutbahnya yang sangat memikat hati pendengar terutamanya selepas pendudukan rejim Zionis ke atas Gaza pada tahun 1967.
Selain daripada dua tugas utama tersebut, masyarakat palestin di semenanjung Gaza juga telah menyaksikan jasa Syeikh Ahmad Yassin sebagai pertugas kebajikan dan juga pendakwah yang gigih mendidik anak-anak remaja dan para pemuda dengan didikan Islam.
Hasil dari usaha tersebut sekitar tahun 1969 dan 1970 beliau menubuhkan Gerakan Ikhwan Muslimin di Gaza yang semakin berkembang pesat dan diterima oleh masyarakat di situ. Kemudian, nama gerakan ini semakin harum di palestin dalam dekad 1940an semasa Ikhwanul Muslimin menyandang senjata menentang tentera Yahudi dan British.
Hasilnya pada tahun 1973 dengan bantuan anggota pertubuhan tersebut, Syeikh Ahmad Yassin telah berjaya menubuhkan sebuah pertubuhan kebajikan yang menjaga kebajikan pelarian-pelarian Palestin yang diberikan nama Mujamma al-Islam. Sebuah NGO berwajah kebajikan ini telah menyantuni ibu-ibu tunggal, anak-anak yatim, orang-orang tua dan pelbagai gerak kerja kebajikan yang lain sehingga meletakkan Syeikh Ahmad Yassin dekat di hati masyarakat Palestin.
Cita-Cita Untuk Melihat Islam Didaulatkan Tidak Pernah Lentur Dihatinya
Usahanya tidak terhenti setakat itu sahaja, memandangkan keadaan di Palestin lebih memaksa umat islam di sana untuk berjihad. Beliau dan beberapa anggota Ikhwan Muslimin yang lain telah menubuhkan sebuah gerakan jihad yang dinamakan sebagai al-Mujahidin al-Filastiniyun pada tahun 1982 sebagai kesinambungan perjuangan “ Kataib Syuyukh “ yang mengambil wasilah jihad sebagai landasan perjuangan mereka.
Bagi Syeikh Ahmad Yassin kelumpuhan dirinya tidak menghalang dirinya daripada usaha mendidik dan membina generasi mujahidin palestin untuk berhadapan dengan penjajahan Zionis yang telah menjajah bumi mereka dan juga Masjid al-Aqsa. Pada tahun 1983, ketika beliau menjawat jawatan sebagai pengarah Pusat Islam di Gaza, beliau telah ditangkap dan dipenjarakan oleh pihak rejim Zionis atas tuduhan memiliki senjata api dan cuba mengugat kerajaan Zionis Israel.
Dia telah dijatuhkan hukuman penjara selama 13 tahun melalui mahkamah tentera Israel, namun pada tahun 1985 hasil daripada proses pertukaran tawanan di antara pihak Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dengan rejim Zionis,beliau telah dibebaskan setelah menjalani hukuman penjara selama 11 bulan.
HAMAS: Saat Langit Palestin Berwarna Merah Saga
Penentangan berdarah terhadap Negara haram Israel tidak berhenti kerana rejim ini sentiasa dahagakan darah orang yang beriman seperti kes pembunuhan di Syabra dan Syatila, pembunuh di Masjid Ibrahimi Hebron dan ratusan lagi kes pembunuh kejam yang menawarkan bumi ini dengan warna merah darah penindasan.
Dalam tahunan 60an dan 70an perjuangan Israel lebih terarah kepada kelompak Sosialis dan kebangsaan Arab yang sempit. Ternyata ideologi Barat ini tidak mampu untuk mengerunkan Israel yang hanya mampu memahami bahasa bom dan senapang. Kini sudah tiba masanya mereka kembali kepada nuansa Perjuangan yang berteraskan kepada Islam, berpandukan al-Quran dan as-Sunah Rasulullah S.A.W. Oleh itu, pada bulan disember tahun1987 Syeikh Ahmad Yassin bersama beberapa orang tokoh masyarakat (pendokong-pendokong Ikhwanul Muslimin di Gaza) mengasaskan pergerakan Kebangkitan Islam (HAMAS) atau di dalam bahasa arab disebut Harakatul Muqawwamatil Islamiyyah. Pertubuhan ini secara langsung membawa fikrah Ikhwanul Muslimin dan menyeru rakyat Palestin berjuang atas nama Islam menentang penjajahan Yahudi di Palestin. Syeikh Ahmad Yassin sendiri terpilih sebagai pemimpin tertinggi dan beliau merupakan ideologue gerakan ini terkenal dengan sifat warak, berani, lantang berpidato, sedia berkorban dan mempunyai aura kepimpinan.
Ideologi HAMAS dinyatakan dalam perlembagaannya yang diistiharkan pada 18 Ogos 1988. Antaranya ialah:
Dasar dan Manhaj HAMAS ialah Islam yang lengkap.
HAMAS adalah gerakan kemanusiaan yang mengambil kira toleransi Islam yang membenarkan penganut-penganut agama lain tinggal bersama masyarakat Islam.
Palestin adalah tanah Islam sejak turun-temurun hinggalah Hari Qiamat. Ia tidak boleh dibelah bahagi atau diserahkan pada pihak lain. Ia bukan milik mana-mana individu, pertubuhan ataupun raja dan presiden Negara-Negara Arab. Ia adalah milik Islam yang mesti dipertahankan.
Jihad menentang kezaliman yahudi adalah Fardu Ain ke atas setiap umat islam lelaki dan perempuan. Dalam hal ini,wanita yang keluar berjihad tanpa izin suaminya adalah tidak berdosa.
HAMAS menolak usaha melengah-lengahkan kemenangan seperti perjanjian damai, persidangan-persidangan dan sebagainya. Hanya jihad sahaja penyelesaian bagi isu palestin.
Kelompak wanita memainkan peranan besar dalam perjuangan membebaskan bumi palestin. Mereka perlu berperanan melatih, mentarbiyah dan mendidik serta melahirkan generasi yang faham Islam dan berakhlak mulia serta bersemangat tinggi untuk membebaskan tanah air mereka
HAMAS menghormati pandangan gerakan-gerakan Islam yang lain selagi mana ia tidak bercanggah dengan Islam. Ia juga menganggap Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) pimpinan Yasir Arafat sebagai “sahabat” tetapi menolak fahaman sekular gerakan itu.
HAMAS mempunyai sikap yang tegas terhadap penubuhan pemerintahan Islam, tanpa kompromi maka gerakan ini menolak penjanjian damai sementara antara Israel dan Palsetin pada tahun 1993-1994. Mulai tahun 1994, HAMAS telah memulakan serangan berani mati terhadap Israel, fenomena ini menjadi igauan yang paling buruk bagi orang yahudi. Dalam tahun1996 sahaja empat serangan bom dalam musim bunga telah diadakan menyebabkan 60 orang penduduk Israel terbunuh. Kebangkitan kedua palestin selama empat tahun setengah telah menyaksikan beberapa orang Palestin terbunuh dan 1,000 penduduk Israel terkorban.
Dengan menubuhkan HAMAS, rakyat palestin yang selama ini tanpa arah yang jelas mencari jalan perjuangan, kini bergabung tenaga melakukan satu kebangkitan menyeluruh atau lebih dikenali sebagai INTIFADHAH.(Ibnu Ismail:2004)
Gerakan jihad ini sangat tersohor dan digeruni oleh musuh Allah sehingga Amerika Syarikat telah meletakkan gerakan ini dalam senarai pertubuhan penggans namun HAMAS tetap harum subur di hati masyarakat Palestin sehingga pernah menang besar dalam pilihan raya di Palestin. Syeikh Ahmad terus menjadi ikon masyarakat Islam dunia dan beliau dengan disorong kerusi rodanya telah meletakkan Israel dan Amerika dalam keresahan yang berpanjangan. Kata-kata yang terpacul daripada mulut beliau adalah siraman kerohanian yang mampu membangkitkan semangat jihad anak-anak muda daripada lontaran batu yang disertai laungan takbir, HAMAS telah mengusung senjata moden untuk berdada dengan kezaliman tentera Zionis.
Syeikh Ahmad Yassin Memberi Peluang Pejuang Menemui Syahid.
Memimpin sebuah pertubuhan yang berdada secara berdepan dengan Israel bukanlah suatu yang mudah, tidak semudah membentang kertas kerja dalam dewan seminar yang berhawa dingin. Memimpin HAMAS bererti menyediakan nyawa untuk perjuangan. Setiap nafas yang dihela sentiasa diintai oleh musuh-musuh, perlu mengatur gerak langkah dengan berhati-hati. Israel beberapa kali mengatur percubaan untuk membunuh Syeikh Ahmad Yassin, bahkan Israel dengan sombong telah mengumumkan perancangan mereka untuk membunuh pemimpin-pemimpin tertinggi HAMAS.
Pada 6 september 2003, pimpinan HAMAS pernah dikejutkan dengan serangan di bangunan mereka sedang bermesyuarat, Syeikh Ahmad Yassin terselamat namun Israel terus mengintai peluang dan mereka telah menyerangnya dengan menggunakan helicopter pada waktu subuh yang hening pada tanggal 22 Mac 2004, darahnya berkubang dengan serangan peluru berpandu yang dilancarkan dari atas helicopter thaghut Israel.
Pembunuhan ini adalah rantaian konspirasi mereka untuk mengendurkan daya juang umat Islam di Palestin, dalam sejarahnya terlalu banyak siri-siri serangan yang telah dilakukan. Beberapa pemimpin pejuang Palestin telah berjaya menemui syahid dibunuh oleh rejim Zionis dengan menggunakan jet-jet pejuang, helikopter dan juga kereta-kereta kebal mereka. Antaranya Salah Shahadah, Ismail Abu Shanab dan alin-lain lagi. Syeikh Ahmad Yassin juga tidak terlepas daripada usaha jahat tersebut, seperti yang berlaku pada 6/9/2003 bilamana sebuah helikopterApache milik Zionis telah membedil dan merobohkan rumah Ahmad Yassin, mujurlah beliau selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan di tangan kanannya. Pada April 2004, Israel tersenyum puas dengan kejayaan mereka membunuh pimpinan tertinggi HAMAS namun dalam sisi lain ia telah menginspirasikan gerakan jihad untuk meneruskan amanah yang mulia.
Menurut kata-kata as-syahid Dr Rantisi (bekas pemimpin Hamas) ketika ditanya soal keberaniannya dalam berjuang membebaskan palestin. Apakah kita takut mati?KEMATIAN...baik di sebabkan pembunuhan atau kanser, semua sama. Kita semua menunggu AKHIR kehidupan kita. Tidak akan ada yang berubah, adakah dengan apache(helikopter yang di gunakan yahudi) atau berhenti detak jantung.saya lebih suka memilih APACHE...Kata-kata yang sangat berguna bagi menempuh jihad di dalam perjuangan sama ada menang dalam perjuangan ataupun mati syahid.Sekiranya ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengegenai pejuang-pejuang Islam seperti Dr Abdul Aziz Rantisi, Dr Fathi Yakan, Dr Abdullah Nasih Ulwan, Imam Syahid Hassan al-Banna dan sebagainya boleh dilihat di dalam buku Tokoh- Tokoh Gerakan Islam, hasil karya Zainnuddin Hashim dan Riduan Mohammad Nor.
Rujukan:
1) Zainuddin Hashim & Riduan Mohamad Nor (2009) tokoh-tokoh gerakan islam Abad moden
Tiada ulasan:
Catat Ulasan