Selasa, 28 Jun 2011

Biodata Ustaz Fadzil bin Mohd Noor



Seorang tokoh pejuangan gerakan Islam yang tidak asing lagi di bibir masyarakat Malaysia dan ajaran serta pemikirannya dikaji dan dianalisis oleh para sarjana adalah merupakan seorang insan yang bernama Fadzil bin mohd Noor.  Beliau dikenali sebagai Ali oleh keluarganya.  Fadzil bin Mohd Noor dilahirkan pada 13 Mac 1937 di Kampung Seberang Pumpung, Alor Setar, Kedah.  Ayahnya Mohd Noor Abdul Hamid merupakan seorang guru yang mengajar kitab jawi di kampung, berakhlak baik dan mempunyai asas ilmu  agama dan manakala ibunya yang bernama Hindun Abdul Rahman telah meninggal dunia sewaktu beliau masih kecil.  Moyangnya Tuan Guru Haji Idris yang lebih dikenali sebagai Tuan Syeikh Idris Al-Jarumi adalah merupakan seorang ulama’ terkenal di Kedah yang berasal dari Patani.   Ustaz Fadzil juga berketurunan daripada daerah Patani.  Pada zaman kanak-kanak, beliau tinggal dengan datuknya di Derga dan bersekolah di Sekolah Melayu Derga serta beliau merupakan seorang murid yang pintar dan berkebolehan untuk melompat ke peringkat kelas yang lebih tinggi.  Beliau menjadi ketua darjah dan menjadi peserta di dalam majlis perbahasan dan mengambil bahagian dalam acara berpantun.  Beliau juga mempunyai latar belakang pendidikan Islam dan menghormati ilmu.  Ustaz Fadzil telah melanjutkan pelajarannya di Sekolah Maktab Mahmud Alor Setar dan beliau menjadi pelajar yang berpengaruh di kalangan murid-murid dan guru-gurunya.  Kegiatan pelajar di Alor Setar dan Kedah mula mendapat perhatiannya.  Kemudian, beliau menerima biasiswa untuk melanjutkan pelajarannya di Universiti Azhar, Mesir.  Pada tahun 1967 beliau berjaya menamatkan pelajaran dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Syariah.  Ketika di Mesir Ustaz Fadzil Noor memimpin Kesatuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) sebagai ketua penerangan, setiausaha dan akhirnya menjadi sebagai timbalan presiden.  Sebelum melanjutkan pelajarannya di Mesir, beliau telah menyatakan hasratnya untuk berkahwin dengan Kak Jah iaitu sepupunya.  Ketika itu, Kak Jah masih lagi belajar di Sekolah Madrasah Tarbiatul Banat, iaitu sekolah yang berdekatan dengan Maktab Mahmud, Alor Setar.  Mereka mempunyai lapan orang anak dan semuanya berjaya melanjutkan pelajarannya ke peringkat pelajaran tinggi.  Ustaz Fadzil merupakan seorang guru dan pendidik.  Dengan berpewatakan pemanja dan penyayang dan rajin melayan anak dan cucu adalah sifat yang patut dimilki oleh seorang pendidik.  Ustaz Fadzil menjadi tenaga pengajar di sekolah yang pernah mengajarnya suatu ketika dahulu iaitu Sekolah Maktab Mahmud Alor Setar dan Ustaz Fadzil Noor juga pernah menjadi guru di Sekolah Menengah Badlishah, Kulim, Kedah dan kemudiannya menjadi pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia apabila menerima tawaran daripada Tan Sri Ainuddin Abd. Wahid.   Beliau juga pernah bertugas sebagai pegawai di Jabatan Zakat Negeri Kedah.  Seterusnya, beliau  berhasrat untuk memiliki sebuah institut pengajian tinggi Islam dan beliau telah berusaha untuk mengumpul duit dan membeli tanah di kawasan Pokok Sena dan tanah itu dijadikan sebuah sekolah pengajian iaitu Muassasah Darul Ulum.

Diantara perwatakan beliau ialah seorang yang sukar difahami dan diajak berbual dan hanya akan berbual dengan orang yang rapar serta  mesra dengannya manakala bagi orang yang baru dikenali akan mengambil masa untuk rapat dan mesra. Beliau juga suka berbual mengenai topik yang beliau minat dan menarik dan beliau suka mendiamkan dirinya apabila perbualan yang berlaku tidak menimbulkan minatnya.  Beliau seorang yang sangat penyayang dan pengasih.  Beliau pernah dan suka membantu isterinya dengan membasuh baju, menyapu sampah dan membuat kerja-kerja di dapur walaupun pada kebiasaannya itu merupakan kerja dan tugasan bagi seorang isteri.  Beliau suka bergurau senda dan bermanja dengan isteri dan anak-anaknya.  Beliau akan meriba ,memicit bahu dan badannya.

Seterusnya, diantara jawatan-jawatan yang disandang Ustaz Fadzil Noor ialah pernah menjadi setiausaha Persatuan Ulama Malaysia pada tahun 1974 hingga tahun 1976, Setiausaha Penerangan ABIM pada tahun 1973 hingga tahun 1974 dan Timbalan Presiden ABIM pada tahun 1974 hingga tahun 1978.   Ustaz Fadzil Noor juga pernah menjadi setiausaha Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) di cawangan Kedah.  Semasa memimpin ABIM, Ustaz Fadzil Noor turut terlibat dalam demonstrasi membela rakyat miskin di Baling, Kedah pada tahun 1974 dan jawatan tertinggi yang disandang oleh Ustaz Fadzil Noor adalah Naib Yang Dipertua pada tahun 1979 hingga 1983, Timbalan Yang Dipertua pada tahun 1983 hingga 1989 dan Presiden PAS pada tahun 1989 hingga 2002.   Ustaz Fadzil Noor mula menjadi Yang Dipertua pada 31 Mac 1989.   Nama jawatan Yang Dipertua PAS ditukar menjadi Presiden PAS pada masa beliau.   Beliau pernah ditahan Polis ketika perjuangan menegakkan kebenaran.  Ustaz Fadzil Noor pernah ditahan dua kali oleh pihak polis.  Pada penghujung tahun 1970an, ketika sedang berucap dalam majlis ceramah di Kg Seberang Takir, Terengganu, tiba-tiba pihak polis mengumumkan bahawa ceramah tersebut adalah perhimpunan haram.  Turut hadir dalam ceramah itu adalah Ustaz Abdul Hadi Awang, Mustafa Ali dan Ustaz Fadhullah Shuaib.  Tanpa menghiraukan amaran tersebut, Ustaz Fadzil Noor meneruskan ceramahnya dengan memberi peringatan kepada pihak polis tentang sebuah hadith Nabi S.A.W. Sepasukan polis terus menyerbu dan menahan Ustaz Fadzil Noor beserta para penceramah lain. Mereka terus dibawa ke balai di bandar Kuala Terengganu malam itu juga.  Bermalamlah Ustaz Fadzil Noor di lokap pada malam itu.  Lewat malam itu juga Pemuda PAS memobilisasi sokongan dan menjelang subuh kira-kira 15,000 orang ahli dan penyokong PAS telah berkumpul di luar kawasan balai polis Kuala Terengganu.  Mereka mendesak pemimpin-pemimpin mereka dibebaskan segera.  Perundingan antara beberapa orang wakil PAS dengan pihak polis diadakan. Hasilnya, Ustaz Fadzil Noor dan pemimpin-pemimpin yang ditahan dalam lokap tersebut dibebaskan tanpa sebarang tindakan.  Sekali lagi Ustaz Fadzil Noor ditahan oleh pihak polis adalah dalam ceramah di Jerlun, Kedah.  Peristiwa ini berlaku ketika kes Muassasah Darul Ulum menjadi isu panas di antara PAS dengan UMNO di Kedah.

Diantara cabaran, kegiatan dan pemikiran beliau semasa di dalam arena politik ialah  Memantapkan Konsep Kepimpinan Ulama’ Kepimpinan Ulama’ yang diasaskan semasa kepimpinan Tuan Guru Yusof Rawa sebagai Yang Dipertua dengan Ustaz Fadzil Noor sebagai timbalannya. Di bawah kepimpinannya, Ustaz Fadzil Noor menekankan agar golongan ulama’ hendaklah sentiasa berusaha untuk melayakkan  diri menjadi sebagai pemimpin dan PAS memberikan perhatian supaya institusi ulama’ mesti disokong dan didaulatkan.  Ustaz Fadzil Noor berpandangan bahawa kepimpinan PAS akan lebih terbuka dan lebih banyak dipikul oleh golongan intelektual masa depan, namun konsep kepimpinan ulama’ akan terus menjadi teras.  Dengan itu Ustaz Fadzil Noor tetap menekankan perihal pentingnya penghayatan kepimpinan ulama’. Sejak kepimpinan ulama’ diketengahkan, PAS berjaya menawan dua buah negeri iaitu Kelantan dan Terengganu.  Kedua-dua negeri ini telah memberikan penghormatan kepada ulama’ untuk menjadi Menteri Besar.  Kehadiran Ustaz Fadzil Noor dan Ustaz Abdul Hadi Awang ke Parlimen juga merupakan satu penampilan tokoh ulama’ yang berwibawa dan amat dikagumi.

Setelah menjadi Presiden, Ustaz Fadzil Noor menyedari bahawa walaupun setelah 40 tahun usia PAS, jumlah keahliannya baru mencecah 300,000 orang.  Pada tahun 1990, beliau melancarkan kempen menambahkan keahlian PAS kepada 500,000 orang  dalam tempoh lima tahun. Sasaran ini adalah sebelum pilihanraya tahun 1995.  Dalam satu ucapan dasarnya, Ustaz Fadzil Noor menyarankan supaya pemimpin-pemimpin di semua peringkat hendaklah memastikan agar ada cawangan PAS di setiap kampung, di setiap taman perumahan dan di setiap lorong.  Ustaz Fadzil Noor menegaskan hendaklah ada sekurang-kurangnya seorang ahli PAS dalam setiap rumah. Ustaz Fadzil Noor membuktikan arahannya itu dilaksanakan di kawasannya sendiri di DUN Bukit Raya.  Di Bukit Raya, cawangan-cawangan PAS jauh melebihi cawangan-cawangan UMNO.

Pada Jun 1995, keanggotaan PAS telah mencecah 400,000.  Walaupun jumlah tersebut tidak memenuhi sasarannya, namun purata penambahan 2,000 orang ahli sebulan telah dapat dicapai.  Ledakan pertambahan ahli ini walau bagaimanapun berlaku setelah tercetusnya Reformasi ekoran pemecatan Anwar Ibrahim.  Purata penambahan ahli PAS untuk beberapa bulan berikutnya adalah antara 10,000 hingga 15,000 orang sebulan.  Pelaksanaan Hudud Enakmen Syariah II Kelantan yang termasuk di dalamnya hukum hudud telah dikemukakan oleh Kerajaan PAS Kelantan semasa kepimpinan Ustaz Fadzil Noor.  Ustaz Fadzil Noor menjelaskan bahawa PAS telah mengumumkan hasratnya untuk melaksanakan syariat Islam termasuk hudud sejak ia ditubuhkan pada tahun 1951.  Para pemimpin PAS sejak itu tidak pernah berselindung mengenai cita-cita tersebut.  Hasrat ini telah disebut dalam ceramah dan manifesto-manifesto pilihanraya PAS.  Ustaz Fadzil Noor menjelaskan bahawa PAS dalam melaksanakan syariat Islam tidak pernah bersikap terburu-buru.  Contohnya, kerajaan Kelantan telah mengambilkira pandangan awal Perdana Menteri yang pernah membuat kenyatan bahawa beliau bersedia memberi laluan kepada Kelantan untuk melaksanakan hudud.  Kerajaan Kelantan juga mengambil kenyataan bekas Timbalan Perdana Menteri yang menyebut bahawa UMNO juga tidak menentang hudud.  Pandangan parti-parti bukan Melayu juga diberi perhatian.  Ketua Dewan Ulama’ sebagai sifatnya Menteri Besar Kelantan telah membuka pintu pejabatnya untuk berdialog dengan ketua-ketua agama dan politik serta pemimpin-pemimpin masyarakat Ustaz Fadzil Noor menegaskan bahawa kerajaan Kelantan telah mencatat sejarah apabila rang enakmen itu dibenarkan untuk dibahas dalam seminar terbuka oleh pelbagai pihak sebelum dibentangkan dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan.  Tetapi malangnya wakil UMNO tidak kelihatan. Ustaz Fadzil Noor telah membidas perbuatan mereka dengan mengatakan bahawa Barisan Nasional yang mendakwa sebagai juara demokrasi sebenarnya belum berani untuk menghadapi rakyat seperti yang dilakukan oleh kerajaan Kelantan.  Ustaz Fadzil Noor turut menyelar tindakan UMNO menolak enakmen tersebut serta pakatan mereka untuk menggagalkan pelaksanaan syariat Islam di negeri Kelantan.
Perhimpunan 100,000 Rakyat Perhimpunan 100,000 Rakyat yang diadakan pada 5 November 2000 adalah satu perhimpunan aman anjuran aktivis yang menyokong Barisan Alternatif daripada parti- parti politik, NGO dan Reformasi. PAS di bawah kepimpinan Ustaz Fadzil Noor telah memberi sokongan yang padu untuk menjayakan perhimpunan ini.  Perhimpunan ini berlaku apabila Ustaz Fadzil Noor membenarkan setiausaha politiknya, Dr. Mohd Hatta Ramli, untuk terlibat sebagai salah seorang ahli jawatankuasa penganjur.  Ustaz Fadzil Noor juga telah mengarahkan Setiausaha Agung PAS, Ustaz Nasharuddin Md Isa untuk mengeluarkan surat kepada setiap PAS Negeri untuk mengerahkan ahli-ahli PAS turun untuk menjayakan perhimpunan aman tersebut.  Sokongan yang diberikan serta komitmen Ustaz Fadzil Noor sendiri untuk hadir ke perhimpunan tersebut telah menyebabkan pemimpin-pemimpin utama parti-parti politik bersetuju untuk turut serta.  Wan Azizah Wan Ismail,  Presiden Part i KeADILan Nasional, Lim Kit Siang, Pengerusi DAP dan Dr. Syed Husin Ali, Presiden PRM turun bersama-sama rakyat menyertai perhimpunan aman tersebut.  Apabila laluan ke tempat perhimpunan disekat oleh polis, keempat-empat pemimpin utama parti- parti politik Barisan Alternatif itu turun daripada kenderaan masing-masing dan berjalan bersama- sama puluhan ribu rakyat di atas Lebuhraya KESAS. Solidariti keempat-empat pemimpin Barisan Alternatif berjalan di barisan hadapan perarakan itu, benar-benar menyuntik semangat kepada rakyat tentang betapa mantapnya gandingan dan kerjasama Barisan Alternatif.  Pada hari itu, Ustaz Fadzil Noor dan para pemimpin Barisan Alternatif menunjukkan contoh semangat yang kental apabila mereka berjalan sejauh hampir lima kilometer di atas Lebuhraya yang sudah tiada kenderaan boleh melaluinya lagi itu.  Apabila tiba di tempat yang sudah tidak boleh lagi dilalui kerana sekatan polis, semua para pemimpin diundang untuk membuat ucapan.  Pada hari itu, Ustaz Fadzil Noor berucap di atas tembok pemisah lebuhraya dengan dikelilingi oleh kira-kira 100,000 rakyat.  Dalam ucapanya yang penuh semangat itu, Ustaz Fadzil Noor menyeru agar semua rakyat bersatu untuk berjuang mengembalikan hak mereka. Apabila lebih seratus orang ditahan oleh polis kerana menyertai perhimpunan aman tersebut, Ustaz Fadzil Noor telah mengarahkan Dr. Mohd Hatta Ramli untuk mengendalikan urusan ikat jamin dan pembebasan mereka daripada lokap. Sokongan terhadap perhimpunan aman di Lebuhraya KESAS ini diteruskan oleh Ustaz Fadzil Noor dengan merintis penubuhan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI). GMI ditubuhkan apabila pengerusi dan ahli-ahli serta penggerak utama Jawatankuasa Perhimpunan 100,000 Rakyat ditahan di bawah ISA pada 10 April 2001. Demonstrasi aman seperti ini adalah suatu yang tidak asing bagi Ustaz Fadzil Noor.  Ini kerana masa mudanya lagi, iaitu pada tahun 1974, beliau telah pun terlibat dalam demonstrasi membela rakyat miskin di Baling. Bahkan, pada akhir-akhir hayatnya pun beliau masih menggagahkan diri untuk hadir bersama rakyat dalam perhimpunan-perhimpunan aman. Sebulan sebelum beliau meninggal dunia, Ustaz Fadzil Noor telah hadir dalam perhimpunan aman di depan Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur membantah tindakan Amerika mahu menyerang Iraq.  Dalam perhimpunan aman tersebut, pihak polis FRU telah mengganas menyerang orang ramai dengan tembakan gas pemedih mata dan semburan air berkimia.  Ustaz Fadzil Noor terkena gas pemedih mata dengan teruk sekali.  Sejak itu kesihatannya sangat terganggu. Menurut setiausaha politik dan doktor peribadinya, Dr. Mohd Hatta Ramli, sejak itu kesihatannya semakin merosot hinggalah beliau memerlukan pembedahan dan seterusnya menghembuskan nafas terakhir. Pencapaiannya sebagai ahli politik danSumbangan kepada Gerakan Islam Pembabitan awal Ustaz Fadzil Noor dalam politik pilihanraya bermula pada tahun 1978. Beliau bertanding dalam pilihanraya untuk merebut kerusi Parlimen Kuala Kedah dan DUN Alor Merah. Pada tahun 1980, dalam pilihanraya kecil DUN Bukit Raya, sekali lagi beliau menjadi calon PAS untuk merebut kerusi tersebut.Beliau gagal dalam kedua-dua percubaan ini. Hanya dalam pilihanraya tahun 1982, Ustaz Fadzil Noor memenangi kerusi DUN Bukit Raya dan seterusnya mempertahankan kerusi tersebut selama empat penggal berturut-turut. Pada pilihanraya tahun 1999, Ustaz Fadzil Noor menang kerusi Parlimen Pendang dan juga kerusi DUN Anak Bukit. Di bawah kepimpinan Ustaz Fadzil Noor PAS mengalami kejayaan paling besar sepanjang sejarah penglibatan dalam pilihanraya. Pada pilihanraya tahun 1999, PAS memenangi 27 kerusi Parlimen dan 98 kerusi DUN. Dengan kedudukan tersebut, Ustaz Fadzil Noor telah dipilih sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen. Beliau merupakan pemimpin kedua daripada PAS yang memegang peranan tersebut. Sejak peranan ketua pembangkang diwujudkan di Parlimen oleh Perdana Menteri, Tun Abdul Razak pada tahun 1972, Dato’ Mohd Asri adalah orang pertama daripada PAS yang menjadi Ketua Pembangkang. Di peringkat politik dalam negeri, Ustaz Fadzil Noor telah berjaya mewujudkan beberapa pakatan politik atau tahaluf siyasi. Antaranya CCC, Angkatan Perpaduan Ummah dan Barisan Alternatif. Beliau juga telah berjaya mewujudkan pakatan politik yang bertujuan khusus menentang kezaliman ISA melalui penubuhan GERAK dan GMI, Gerakan Mansuhkan ISA. Di peringkat serantau beliau memainkan peranan untuk mewujudkan permuafakatan di kalangan kumpulan-kumpulan Islam di Indonesia. Selepas tercetusnya Reformasi Indonesia dan jatuhnya Presiden Suharto, maka telah muncal banyak parti-parti yang berteraskan Islam di Negara tersebut. Ustaz Fadzil Noor mengambil inisiatif dan langkah diplomasi bertemu pemimpin parti-parti tersebut dan mengsyorkan agar mereka tidak membentuk terlalu banyak parti berteraskan Islam di sana. Ust az Fadzil Noor juga telah berjaya menempatkan PAS sebarisan dengan gerakan-gerakan Islam dan parti-parti politik Islam di peringkat antarabangsa. Ustaz Fadzil Noor menegaskan: ” PAS sebagai sebuah jamaah Muslimin dan wadah kepada perjuangan umat, adalah satu daripada mata rantai Gerakan Islam seluruh dunia. Ia bersama-sama dengan Ikhwan Muslimin di Mesir, Jamaati Islami di benua kecil India, Refah Party di Turki, FIS di Algeria, HAMAS di Palestin dan lain-lain harakah Islam di seluruh dunia, mendukung perjuangan Islam dan bangun bersama Islam serta merealisasikan corak hidup Islam” Di peringkat politik antarabangsa juga, Ustaz Fadzil Noor tegas dan lantang menentang kerakusan dan dasar-dasar kejam kuasa Amerika dan Barat . Dalam isu Palestin, Israel, Chechnya, Afghanistan dan Iraq, PAS di bawah teraju Ustaz Fadzil Noor mengambil pendirian yang cukup lantang dan jelas. Tidak sedikit pemimpin dan ahli-ahli PAS semasa menyatakan pendirian dalam isu-isu antarabangsa melalui ceramah dan demonstrasi aman yang telah ditangkap dan dimasukkan ke dalam lokap. Pendiriannya yang jelas dan tegas terhadap isu-isu antarabangsa yang melibatkan umat Islam telah menyuntik semangat juang yang tinggi di kalangan ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS. Dalam masa yang sama Ustaz Fadzil Noor juga amat teliti dengan isu-isu tempatan. Sebagai contoh, beliau amat cermat menangani isu hak istimewa orang Melayu di negara ini. Mengambil hujah daripada tindakan Khalifah Umar bin Al-Khattab semasa pemerintahannya, Ustaz Fadzil Noor menegaskan Terdapat hak istimewa seumpama ini demi menjaga kepentingan penduduk asal tempatan khususnya yang tidak berada. Demikian juga ketika berlaku kes Mohamad Sabu menjelang pilihanraya 1995. Setelah mengadakan mesyuarat yang teliti, Ustaz Fadzil Noor mencadangkan satu tindakan disiplin diambil. Mohamad Sabu diminta meletakkan jawatan daripada parti dan keputusan ini diterima baik oleh Mohamad Sabu. Langkah ini dilakukan demi mengekalkan kewibawaan PAS dan mengelakkan tohmahan  terhadapnya. Selepas kes itu selesai dan mahkamah mendapati Mohamad Sabu tidak bersalah, maka ternyata langkah yang diambil oleh Ustaz Fadzil Noor telah menguntungkan PAS dan perjuangan Islam. Ustaz Fadzil Noor juga meneruskan tradisi muslimat PAS diberikan amanah untuk menjadi calon dalam pilihanraya. Penampilan muslimat dari pelbagai lapisan latar belakang dan kerjaya telah melonjakkan imej PAS sepanjang PAS diterajui oleh Ustaz Fadzil Noor. Ustaz Fadzil Noor juga amat berjaya di bidang dakwah dan pendidikan. Selaku Pesuruhjaya PAS Kedah pada tahun 1985 beliau telah membeli sebuah estet kecil seluas 35 ekar untuk dijadikan sebuah institusi pengajian tinggi Islam. Institusi ini dinamakan Muassasah Darul Ulum, Pokok Sena, Kedah. Pada masa yang sama Muassasah Darul Ulum, Pokok Sena yang didirikan oleh Ustaz Fadzil Noor adalah setanding kehebatannya pada zaman kegemilangan Maahad Al-Ehya Al-Sharif yang diasaskan oleh Ustaz Abu Bakar Al-Baqir. Muassasah Darul Ulum menampilkan pelbagai kemelut pergeresan di antara PAS dengan UMNO, kerajaan Pusat dan kerajaan Negeri Kedah. Beberapa orang pemimpin Pemuda PAS ditahan di bawah ISA dalam ketegangan isu Muassasah Darul Ulum. Bahkan, Ustaz Fadzil Noor sendiri ditahan polis ketika berceramah di Jerlun mengenai isu Muassasah.  Tahaluf Siyasi dan Reformasi Ustaz Fadzil Noor meneruskan tradisi perjuangan mengekalkan perpaduan demi menjaga kemaslahatan Islam dan negara yang telah diasaskan oleh pemimpin-pemimpin awal PAS. Usaha Dr. Burhanuddin Helmy mewujudkan pakatan dengan lebih 80 buah parti dan pertubuhan Melayu bagi mewujudkan PUTERA atau Pusat Tenaga Rakyat adalah satu contoh yang gilang gemilang. PUTERA dipengerusikan oleh Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) dengan Dr. Burhanuddin Al-Helmy sebagai penggerak utama di belakangnya. Melalui PUTERA, Dr. Burhanuddin Al-Helmy mewujudkan pula pakatan politik dengan Tan Cheng Lok yang menerajui AMCJAKemuncak perjuangan PUTERA-AMCJA yang dipengerusikan oleh Dr. Burhanuddin Al-Helmy adalah hartal atau boleh dikat akan pada hari ini sebagai civil disobedience. Hartal melibat kan 450,000 anggota dalam gabungan jaringan PUTERA-AMCJA. Apabila pakatan PUTERA-AMCJA dilihat membahayakan penjajah British, maka undang-undang Darurat pun dikuatkuasakan. Sepanjang tempoh Darurat, Dr. Burhanuddin Al-Helmy telah terhalang daripada menggerakkan sebarang pakatan politik Sebaliknya Tan Cheng Lok mula berjinak-jinak dengan UMNO dan akhirnya pakatannya dengan pemimpin-pemimpin UMNO membolehkan MCA ditubuhkan. Kemudian, berbekalkan tradisi tahaluf siyasi seperti inilah yang mendorong Ustaz Fadzil Noor mewujudkan pakatan dengan Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh dalam Angkatan Perpaduan Ummah. Hasil daripada tahaluf siyasi ini, PAS berjaya memerintah Kelantan. Demikian juga apabila berlakunya Reformasi berikutan pemecatan Anwar Ibrahim. Tradisi yang diwarisi daripada pemimpin-pemimpin terdahulu dan pengalamannya sendiri, menjadikan Ustaz Fadzil Noor mengorak langkah bagi mewujudkan tahaluf siayasi dengan penyokong-penyokong Anwar Ibrahim. Bermula dengan GERAK, seterusnya Ustaz Fadzil Noor merintis penubuhan Barisan Alternatif yang merupakan satu tahaluf siyasi ke arah pembentukan Malaysia Baru. Langkah tersebut telah membawa hasil yang begitu besar kepada PAS dan perjuangan Islam pada pilihanraya 1999. PAS mengekalkan kuasa di Kelantan dan berjaya mewujudkan kerajaan di Terengganu. Pendekatan tahaluf siyasi yang diterajui oleh Ustaz Fadzil Noor juga bersumber daripada warisan kepimpinan terbuka dan sederhana Tuan Guru Yusof Rawa. Di bawah teraju kepimpinannya, Tuan Guru Yusof Rawa telah membuka ruang bagi pemimpin- pemimpin pelapis PAS untuk mewujudkan pakatan-pakatan politik yang boleh memenangkan dakwah dan politik Islam. Kerjasama dan pakatan dengan pertubuhan dan aktivis kaum Cina hingga tertubuhnya CCC adalah satu dayacipta keterbukaan dan kesederhanaan kepimpinan Tuan Guru Yusof Rawa. Ustaz Fadzil Noor juga sering mengingatkan pemimpin dan ahli-ahli PAS bahawa PAS adalah berakarumbi daripada perjuangan Hizbul Muslimin di Gunung Semanggol. Tatkala menyebut Hizbul Muslimin, sekaligus Ustaz Fadzil Noor mengingatkan pemimpin dan ahli- ahli PAS bahawa tradisi kepimpinan ulama’ sebenarnya bersumber daripada perjuangan dan pengorbanan para ulama’ angkatan Ust az Abu Bakar Al-Baqir. Keberanian dan sikap terbuka Ust az Abu Bakar Al-Baqir dalam merintis pelbagai tahaluf siyasi seperti PEPERMAS, MATA, LEPIR dan seumpamanya menjadi iktibar bagi perjuangan PAS yang diterajui oleh Ustaz Fadzil Noor. Jika ada kesinambungan dan kesepaduan di antara perjuangan yang dirintis oleh Ustaz Abu Bakar Al- Baqir, Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Prof Zulkifli Muhammad dan Tuan Guru Yusof Rawa, maka Ustaz Fadzil Noor menterjemahkannya dalam realiti politik pada masanya. Demikian juga, jika usaha Dr. Burhanuddin Al-Helmy berjaya menggabungkan lebih 80 buah parti dan persatuan Melayu dalam PUTERA untuk menuntut kemerdekaan daripada penjajah, Ustaz Fadzil Noor pula telah berjaya mewujudkan gabungan lebih 80 buah parti politik dan NGO melalui GMI untuk mendesak kerajaan memansuhkan undang-undang warisan penjajah, ISA Di bawah kepimpinan Ustaz Fadzil Noor, PAS terus bergerak menjadikan tahaluf siyasi sebagai satu amalan utama dalam pergerakan siyasahnya. Menentang Kezaliman ISA Kezaliman ISA adalah suatu yang tidak asing lagi bagi Ustaz Fadzil Noor. Ini kerana semasa beliau menjadi Timbalan Presiden ABIM, beliau terpaksa memangku jawatan Presiden ABIM apabila Anwar Ibrahim ditahan di bawah ISA selama dua puluh bulan bermula dari t ahun 1974. Sekali lagi setelah Anwar Ibrahim ditahan dan dibelasah oleh Ketua Polis Negara pada malam 20 Sept ember 1998, keesokan harinya rakan lamanya itu diumumkan telah ditahan di bawah ISA. Ustaz Fadzil Noor memahami benar bahawa ISA adalah senjata politik pemerintah. ISA digunakan untuk melindungi kepentingan politik pemerintah. ISA juga digunakan untuk menutup jenayah pemerintah. Meneruskan dasar PAS terhadap ISA daripada kepimpinan Tuan Guru Yusof Rawa, Ustaz Fadzil Noor terus melonjakkan PAS dalam sikap dan pendiriannya terhadap kezaliman ISA. Ustaz Fadzil Noor mempengerusikan mesyuarat menentang ISA ekoran penahanan Anwar Ibrahim dan beberapa penyokongnya bermula dari 20 September 1998. Mesyuarat itu diadakan di Markaz Tarbiah PAS, Taman Melewar dan dihadiri oleh wakil-wakil daripada PAS, PRM, DAP dan NGO daripada PUM, ABIM, JIM, SUARAM dan lain-lain. Mesyuarat yang diadakan pada 25 September itu memutuskan untuk mendesak kerajaan membebaskan segera semua tahanan ISA dan memansuhkan ISA. Mesyuarat bersetuju sebulat suara untuk menubuhkan Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia atau GERAK. Di bawah kepimpinan Ustaz Fadzil Noor, GERAK dilancarkan pada 27 September 1998 di Markaz Tarbiah, Taman Melewar. Puluhan ribu rakyat dan ratusan wartawan dari dalam dan luar negara hadir ke majlis pelancaran tersebut. Dalam Ucapan Dasar di Muktamar PAS ke-45 pada Mei 1999, Ustaz Fadzil Noor menegaskan: ” Kejayaan PAS menggabungkan parti politik dan NGO dalam satu gerakan yang disebut Majlis Gerakan Keadilan Rakyaalaysia atau GERAK, cukup untuk membuktikan keupayaan kepimpinan PAS menerajui kebangkitan rakyat di negara ini” Ustaz Fadzil Noor berulang kali menegaskan, sama ada dalam ceramah mahupun dalam perbahasan di Parlimen, bahawa ISA bersama-sama undang-undang zalim yang lain seperti OSA, Akta Polis dan Akta Cetak adalah undang-undang yang mencabul hak asasi rakyat di negara ini. Fadhil Noor wafat pada 23 Jun 2002, dan jenazahnya telah dipusarakan di kawasan yang berhadapan dengan bangunan Musalla di Muassasah Darul Ulum. Ketika beliau meninggal dunia hampir setengah juta orang berkumpul di situ dan sepanjang jalan dari Alor Setar dan seramai 50000 orang sembahyang solat jenazahnya dan ianya merupakan rekod terbesar di dalam sejarah umat Islam di negara Malaysia.                                                                                                            















RUJUKAN:
1) Subky Abd. Latif. (2003). Subky Abd. Latif. Kuala Lumpur :Penerbitan Al-Azim Sdn. Bhd.
2) www.scribd.com.my

Syeikhuna Imam Hassan Al Banna...




Pengaruh Imam Hassan al-Banna dalam menebarkan semangat jihad ke atas diri umat islam.



            Hassan al-Banna merupakan seorang yang sangat terkenal dalam arena dakwah global dan namanya tidak asing lagi dalam senarai tokoh-tokoh islam pada abad moden ini. Beliau merupakan seseorang yang sangat ikhlas berjuang dalam meneruskan mata rantai perjuangan demi menegak agama Allah yang suci pada zaman yang penuh dengan fitnah dan masyarakat yang semakin tenat. Menurut Robert Jackson, beliau adalah ahli siasah yang pintar, pemimpin yang gagah, ulama yang kuat hujahnya, ahli falsafah yang dipandang, pemidato yang matang dan penulis yang bermisi.


Pengaruh Hassan al-Banna yang besar ialah merubah peta dunia islam dengan menubuhkan ikhwanul muslimin sehingga ia menjadi ikon kepada gerakan islam yang lain di seluruh tempat di dalam peta umat islam dengan membawa dasar cita-cita perjuangan islam dalam dunia kontemporari ini dan menggerakkan kesedaran kembali kepada Islam serta menyegarkan kembali fahaman Islam yang memesong hasil kesan daripada penjajahan Barat di Negara-negara umat islam. Beliau adalah seseorang ideologue yang bijaksana dalam mengatur organisasi, beliau pintar dalam menggunakan bahasa-bahasa pidato yang indah dan mampu mematahkan hujah lawan. Dengan kemunculan Hassan al-Banna ini, beliau telah mengembalikan kefahaman umat islam berkenaan dengan politik yang mana pada ketika itu, politik dianggap sesuatu yang bertentangan dengan agama dan harus dipisahkan diibaratkan seperti warna hitam yang berlawanan dengan warna putih serta peningkatan arus pemikiran sekular telah mendorong kearah melemahkan pengaruh Islam dan meruntuhkan nilai-nilai islam serta mengosongkan roh islam di dalam diri umat islam. Beliau telah menyediakan satu asas gerakan islam iaitu ikhwan muslimin yang kukuh berpandukan kepada sirah perjuangan rasulullah S.A.W. dengan menyuntikkan fikrah perjuangan islam dengan memberi kesedaran berkenaan dengan isu palestin, jihad menentang gerakan Zionist dan pembebasan Al-Quds. Hassan al-Banna menganggap isu palestin ini sebagai isu Dunia Islam keseluruhannya. Beliau meletakkan kepentingan Islam mengatasi segalanya, inilah yang membuktikan keikhlasannya berjuang sebagai seorang pejuang Islam bertindak menjadikan puak atau kumpulan lebih penting daripada Islam dan perjuangannya adalah satu tindakan yang salah dan menyeleweng dari manhaj nabi S.A.W. Menurut Dr. Said Ramadhan al Buti  di dalam Fiqhus Siirah mengenai pengertian  Jihad ialah usaha yang bersungguh – sungguh untuk menegakkan kalimah Allah, mendirikan masyarakat Islam dan mendirikan Negara Islam yang sah. Kemudian, Imam Hasan al-Banna menyatakan di dalam Risalahnya iaitu jihad adalah kewajipan yang berterusan sehingga hari kiamat seperti maksud hadith Rasulullah saw “Barangsiapa yang mati sedangkan dia tidak berperang fisabilillah atau tiada niat untuk berperang fisabilillah maka matinya adalah seperti mati jahiliyah”. Adapun martabat yang paling rendah ialah jihad melalui ingkar dengan hati, manakala yang paling tinggi ialah berperang fisabilillah. Ia merupakan merangkumi skop yang amat luas iaitu mengeksploitasi apa sahaja yang digunakan bertujuan untuk meninggikan agama Allah iaitu Islam selagi mana ia dibenarkan oleh syarak. Dalam melakukan jihad kepada Allah S.W.T secara tidak langsung pengorbanan juga turut disertai. Menurut Imam Hasan al-Banna erti pengorbanan ialah menggunakan atau mewakafkan diri, harta, waktu dan kehidupan untuk mencapai matlamat kerana Allah S.W.T. Mereka yang berjihad mempunyai kedudukan yang jauh lebih mulia daripada mereka yang enggan berjihad. Allah menjanjikan balasan yang baik iaitu Syurga, dan Allah melebihkan orang-orang yang berjuang atas orang-orang yang tidak turut berperang kerana tiada sesuatu keuzuran dengan pahala yang amat besar. Sejarah kemenangan dan kegemilangan Islam di sepanjang zaman turut diwarnakan oleh perjuangan dan pengorbanan yang cukup hebat dan terbilang, menyaksikan bagaimana harta, tenaga, darah dan nyawa menjadi  yuran berkualiti  tinggi yang dibayar oleh para pejuang. Mereka yang berjuang dan berkorban demi kerana Allah dan agamanya untuk mendaulatkan islam pasti akan mengalami mehnah dan tribulasi seperti syaitan, hawa nafsu, orang kafir, orang munafikin, kekayaan, ketakutan, pernderitaan dan sebagainya. Allah berfirman dalam surah al-imran ayat 142 yang bermaksud Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah wujudnya orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh di antara kamu), dan belum lagi nyata wujudnya orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?        


Pada pandangan saya, fikrah perjuangan  yang dibawa oleh Imam Hassan al- Banna ialah perjuangan yang sebenar yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. Beliau mendakwah agar islam dikembalikan kepada sumber panduan manusia iaitu kitab Allah dan Sunnah Rasulullah S.A.W. Seruan fikrah perjuangan ini mendukung ajaran yang syumul yang mana tidak bertujuan kepada seruan dakwah semata-mata. Seruan dakwah yang dibawa oleh Imam Hassan al-Banna mengalami mehnah dan tribulasi seperti dipenjara oleh kerajaan pemerintahan ketika itu dan pembunuhan ramai-ramai terhadap ahli ikhwan di Hamah. Namun segala mehnah dan tribulasi yang dihadapi mereka sabar dan tabah dalam menempuhinya. Mereka sanggup mengorbankan harta, tenaga, masa, darah dan nyawa demi sebuah perjuangan untuk mendaulatkan syariat Allah dan memartabatkan ummah. Sungguhpun pengorbanan ini mengorbankan kepentingan diri dan duniawi, namun ianya bukan sesuatu yang merugikan bagi mereka yang berkorban demi perjuangan Islam. Perjuangan dan Pengorbanan tidak boleh dipisahkan kerana ia amat berkait rapat dan saling memerlukan diantara satu sama lain. Tiada perjuangan tanpa pengorbanan dan sesuatu pengorbanan adalah mustahil tanpa wujudnya proses perjuangan. Benarlah kata-kata hikmah yang mengatakan tiada hidayah tanpa dakwah, tiada dakwah tanpa perjuangan, tiada perjuangan tanpa pengorbanan. Hidayah tidak datang bergolek, bahkan ia perlu diusahakan dengan bersungguh-sungguh dalam perjuangan membebaskan dan mempertahankan Islam dan Ummah daripada belenggu musuh. Mereka berusaha dan bekerja semata-mata untuk Allah sentiasa akan mendapat keuntungan di sisiNya kerana tugas manusia adalah sebagai khilafah Allah secara umumnya iaitu untuk menguruskan kehidupan mereka di dunia ini menurut syariat yang telah ditetapkan Allah S.W.T iaitu syariat Islam di dalam semua aspek kehidupan sama ada politik, ekonomi mahupun sosial. Seterusnya, keperibadian mulia dan tinggi nilai yang ada pada diri ulamak seperti Imam Hassan al-Banna meletakkan beliau sebagai teraju untuk memimpin zaman dan ummat ini. Oleh itu, zaman yang semakin terdedah kepada anasir yang merosakkan aqidah, akhlak dan fikrah ummah memerlukan kepimpinan Imam Hassan al-Banna dengan segala potensi dan kualiti yang beliau miliki .Contohnya, sirah nabawiyah yang diajarkan al-banna telah membangkitkan semangat perjuangan generasi muda muslim yang mampu menakutkan musuh-musuh Islam. Disini dapat dilihat bahawa seharusnya kita menggabungkan diri dengan gerakan islam yang benar agar tidak ketinggalan atau bersendirian dalam meneruskan perjuangan rasulullah S.A.W yang tercinta selagi mana mewujudkan negara yang melaksanakan ajaran islam yang syumul tidak terlaksana. Marilah kita sama-sama mewujudkan individu muslim, keluarga muslim, masyarakat muslim dan seterusnya negara Islam serta berpegang teguhlah kita dengan tali ukhwah persaudaraan yang kukuh, ikhlaskan niat kita dan beramallah kerana Allah.

Kesimpulannya, Islam adalah suatu agama fitrah dan ia mampu menangani apa jua isu dan zaman. Setiap kali ia diserang akan pasti ada pembela, setiap kali ia dituduh akan pasti ada peguam yang membelanya dan setiap kali Islam ditahan akan pasti ada tentera yang membebaskannya. Allah pasti sahaja memenangkan agamanya sekalipun terdapat pelbagai usaha dari pihak Orentalis dan Barat untuk memadamkan api cahaya Allah S.W.T. Berasakan kepada keyakinan ini, maka wajib keatas setiap muslimin dan pemuda sebahagian daripadanya untuk bekerja keras dalam menerima kemenangan itu dengan penuh kesediaan apabila tiba masanya kelak. Sesungguhnya sembahyang kita, ibadah kita, hidup kita dan mati kita adalah semata-mata bagi Allah tuhan semesta alam, tiada sekutu baginya.


RUJUKAN

2)      Ibnu Qayyim. 1996. Zaadul Maa’d fi Hadyil Khairat. Cetakan Muassasatur Risalah :  Beirut.

3)      Riduan Mohamad Nor. 2010. Memperingati seratus tahun Hassan al-Banna. Jundi resource : Kuala Lumpur.
4)      Said Ramadhan al Buti Fiqh Sirah. 1992. Darul Fikri : Beirut.
5)      Zainudin Hashim Riduan Mohamad Nor. 2010. Tokoh- Tokoh Gerakan Islam Abad Moden. Jundi resource : Kuala Lumpur.




K.A.W.A.T

Assalamualaikum...Sedikit perkongsian pengalaman semasa menjadi Fasilitator di Kem Bina Insan(KBI) pada bulan Mei 2011...Pengalaman  yang agak mencuit hati kerana selama ini iaitu 3 tahun semasa aku menjadi ahli ko-kurikulum (Askar Wataniah) di Unisza aku  tak pernah sesekali menjadi Ketua Platun...Pada kebiasaannya, Ketua Platun ini memainkan peranan untuk memberi arahan semasa berkawad...Alhamdullilah dapat elak diri...;-) dalam kawad dapat elak diri ,semasa pertandingan kawad pun aku masih lagi dapat elak diri sebab sakit...Sakit yg penuh hikmah;-) dan semasa waktu  ko-ko ini jugalah aku diantara org yang tersenarai untuk tidak menghadiri perhimpunan pada setiap pagi rabu pukul 7.30 A.M...Malahan perjumpaan ko- ko pada hari sabtu pun ada aku ponteng...tapi Alhamdullilah result ko-ko masih lg A...;-) Bersyukur sangat walaupun tak hadiri masih lagi berkesempatan dpt A dan serba sedikit dapat membantu dalam peningkatan pointer...Okay berbalik kepada kisah kawad... Semasa di KBI aku diminta untuk melatih peserta KBI berkawad...Dengan Tanpa segan silu aku terima permintaan tersebut sebab kawad ini diadakan secara berasingan dengan lelaki dan mencetuskan biah(suasana) yg solehah dan sama sekali tidak seperti Biah di Unisza...Kawad secara bercampuran dan campuran minda jajahan barat masih ada berbaki lagi...Nasib baik laa, arahan kawad masih aku ingat...Di antaranya: Baris baris Sedia, Senang Diri,(semasa baris sedia @senang diri lutut kena paras dan hentak padat) Kekanan lurus,Nombor,Pandang Depan, bergerak ke kanan bertiga-tiga ke kanan pusing...baris akan menghadap ke hadapan ke kiri pusing...baris akan menghadap ke belakang ke belakang pusing, Keluar Baris dll... Xsangka yg ilmu yg aku anggap xpenting ini boleh jadi penting dan sesuai digunakan selepas keluar pengajian di bumi barakah Unisza...Diantara: faedah kawad yang pernah disebut oleh Sarjan Mohd Nasir Bin Sulaiman ialah : Kawad ini dapat mendisiplinkan diri dari sudut  ketetapan masa dan keseragaman @kesamaan semasa pergerakan...Selain itu,  dapat melatih diri pelatih menjadi pemimpin seperti memberi arahan dengan baik,berani ke hadapan dll...Seterusnya, Sarjan Nasir juga menekankan tentang Kasih Sayang iaitu kasih sayang yang dapat dipupuk melalui semangat bekerjasama dlm 1 pasukan...Pesanan saya kepada diri saya dan sahabat-sahabat sekelian... Ambillah dan tambatlah apa jua ilmu ke dalam hati dan akal supaya faedah daripada ilmu tersebut dapat digunakan oleh kita untuk kebaikan  pada satu hari nanti untuk kebenaran dan bukannya kebatilan...contohnya : belajarlah mengetahui tentang ilmu ajaran sesat supaya kita dapat menghindari diri dari kesesatan dan bukannya terjebak ke dalam juram kesesatan....