Selasa, 28 Jun 2011

Syeikhuna Imam Hassan Al Banna...




Pengaruh Imam Hassan al-Banna dalam menebarkan semangat jihad ke atas diri umat islam.



            Hassan al-Banna merupakan seorang yang sangat terkenal dalam arena dakwah global dan namanya tidak asing lagi dalam senarai tokoh-tokoh islam pada abad moden ini. Beliau merupakan seseorang yang sangat ikhlas berjuang dalam meneruskan mata rantai perjuangan demi menegak agama Allah yang suci pada zaman yang penuh dengan fitnah dan masyarakat yang semakin tenat. Menurut Robert Jackson, beliau adalah ahli siasah yang pintar, pemimpin yang gagah, ulama yang kuat hujahnya, ahli falsafah yang dipandang, pemidato yang matang dan penulis yang bermisi.


Pengaruh Hassan al-Banna yang besar ialah merubah peta dunia islam dengan menubuhkan ikhwanul muslimin sehingga ia menjadi ikon kepada gerakan islam yang lain di seluruh tempat di dalam peta umat islam dengan membawa dasar cita-cita perjuangan islam dalam dunia kontemporari ini dan menggerakkan kesedaran kembali kepada Islam serta menyegarkan kembali fahaman Islam yang memesong hasil kesan daripada penjajahan Barat di Negara-negara umat islam. Beliau adalah seseorang ideologue yang bijaksana dalam mengatur organisasi, beliau pintar dalam menggunakan bahasa-bahasa pidato yang indah dan mampu mematahkan hujah lawan. Dengan kemunculan Hassan al-Banna ini, beliau telah mengembalikan kefahaman umat islam berkenaan dengan politik yang mana pada ketika itu, politik dianggap sesuatu yang bertentangan dengan agama dan harus dipisahkan diibaratkan seperti warna hitam yang berlawanan dengan warna putih serta peningkatan arus pemikiran sekular telah mendorong kearah melemahkan pengaruh Islam dan meruntuhkan nilai-nilai islam serta mengosongkan roh islam di dalam diri umat islam. Beliau telah menyediakan satu asas gerakan islam iaitu ikhwan muslimin yang kukuh berpandukan kepada sirah perjuangan rasulullah S.A.W. dengan menyuntikkan fikrah perjuangan islam dengan memberi kesedaran berkenaan dengan isu palestin, jihad menentang gerakan Zionist dan pembebasan Al-Quds. Hassan al-Banna menganggap isu palestin ini sebagai isu Dunia Islam keseluruhannya. Beliau meletakkan kepentingan Islam mengatasi segalanya, inilah yang membuktikan keikhlasannya berjuang sebagai seorang pejuang Islam bertindak menjadikan puak atau kumpulan lebih penting daripada Islam dan perjuangannya adalah satu tindakan yang salah dan menyeleweng dari manhaj nabi S.A.W. Menurut Dr. Said Ramadhan al Buti  di dalam Fiqhus Siirah mengenai pengertian  Jihad ialah usaha yang bersungguh – sungguh untuk menegakkan kalimah Allah, mendirikan masyarakat Islam dan mendirikan Negara Islam yang sah. Kemudian, Imam Hasan al-Banna menyatakan di dalam Risalahnya iaitu jihad adalah kewajipan yang berterusan sehingga hari kiamat seperti maksud hadith Rasulullah saw “Barangsiapa yang mati sedangkan dia tidak berperang fisabilillah atau tiada niat untuk berperang fisabilillah maka matinya adalah seperti mati jahiliyah”. Adapun martabat yang paling rendah ialah jihad melalui ingkar dengan hati, manakala yang paling tinggi ialah berperang fisabilillah. Ia merupakan merangkumi skop yang amat luas iaitu mengeksploitasi apa sahaja yang digunakan bertujuan untuk meninggikan agama Allah iaitu Islam selagi mana ia dibenarkan oleh syarak. Dalam melakukan jihad kepada Allah S.W.T secara tidak langsung pengorbanan juga turut disertai. Menurut Imam Hasan al-Banna erti pengorbanan ialah menggunakan atau mewakafkan diri, harta, waktu dan kehidupan untuk mencapai matlamat kerana Allah S.W.T. Mereka yang berjihad mempunyai kedudukan yang jauh lebih mulia daripada mereka yang enggan berjihad. Allah menjanjikan balasan yang baik iaitu Syurga, dan Allah melebihkan orang-orang yang berjuang atas orang-orang yang tidak turut berperang kerana tiada sesuatu keuzuran dengan pahala yang amat besar. Sejarah kemenangan dan kegemilangan Islam di sepanjang zaman turut diwarnakan oleh perjuangan dan pengorbanan yang cukup hebat dan terbilang, menyaksikan bagaimana harta, tenaga, darah dan nyawa menjadi  yuran berkualiti  tinggi yang dibayar oleh para pejuang. Mereka yang berjuang dan berkorban demi kerana Allah dan agamanya untuk mendaulatkan islam pasti akan mengalami mehnah dan tribulasi seperti syaitan, hawa nafsu, orang kafir, orang munafikin, kekayaan, ketakutan, pernderitaan dan sebagainya. Allah berfirman dalam surah al-imran ayat 142 yang bermaksud Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah wujudnya orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh di antara kamu), dan belum lagi nyata wujudnya orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?        


Pada pandangan saya, fikrah perjuangan  yang dibawa oleh Imam Hassan al- Banna ialah perjuangan yang sebenar yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. Beliau mendakwah agar islam dikembalikan kepada sumber panduan manusia iaitu kitab Allah dan Sunnah Rasulullah S.A.W. Seruan fikrah perjuangan ini mendukung ajaran yang syumul yang mana tidak bertujuan kepada seruan dakwah semata-mata. Seruan dakwah yang dibawa oleh Imam Hassan al-Banna mengalami mehnah dan tribulasi seperti dipenjara oleh kerajaan pemerintahan ketika itu dan pembunuhan ramai-ramai terhadap ahli ikhwan di Hamah. Namun segala mehnah dan tribulasi yang dihadapi mereka sabar dan tabah dalam menempuhinya. Mereka sanggup mengorbankan harta, tenaga, masa, darah dan nyawa demi sebuah perjuangan untuk mendaulatkan syariat Allah dan memartabatkan ummah. Sungguhpun pengorbanan ini mengorbankan kepentingan diri dan duniawi, namun ianya bukan sesuatu yang merugikan bagi mereka yang berkorban demi perjuangan Islam. Perjuangan dan Pengorbanan tidak boleh dipisahkan kerana ia amat berkait rapat dan saling memerlukan diantara satu sama lain. Tiada perjuangan tanpa pengorbanan dan sesuatu pengorbanan adalah mustahil tanpa wujudnya proses perjuangan. Benarlah kata-kata hikmah yang mengatakan tiada hidayah tanpa dakwah, tiada dakwah tanpa perjuangan, tiada perjuangan tanpa pengorbanan. Hidayah tidak datang bergolek, bahkan ia perlu diusahakan dengan bersungguh-sungguh dalam perjuangan membebaskan dan mempertahankan Islam dan Ummah daripada belenggu musuh. Mereka berusaha dan bekerja semata-mata untuk Allah sentiasa akan mendapat keuntungan di sisiNya kerana tugas manusia adalah sebagai khilafah Allah secara umumnya iaitu untuk menguruskan kehidupan mereka di dunia ini menurut syariat yang telah ditetapkan Allah S.W.T iaitu syariat Islam di dalam semua aspek kehidupan sama ada politik, ekonomi mahupun sosial. Seterusnya, keperibadian mulia dan tinggi nilai yang ada pada diri ulamak seperti Imam Hassan al-Banna meletakkan beliau sebagai teraju untuk memimpin zaman dan ummat ini. Oleh itu, zaman yang semakin terdedah kepada anasir yang merosakkan aqidah, akhlak dan fikrah ummah memerlukan kepimpinan Imam Hassan al-Banna dengan segala potensi dan kualiti yang beliau miliki .Contohnya, sirah nabawiyah yang diajarkan al-banna telah membangkitkan semangat perjuangan generasi muda muslim yang mampu menakutkan musuh-musuh Islam. Disini dapat dilihat bahawa seharusnya kita menggabungkan diri dengan gerakan islam yang benar agar tidak ketinggalan atau bersendirian dalam meneruskan perjuangan rasulullah S.A.W yang tercinta selagi mana mewujudkan negara yang melaksanakan ajaran islam yang syumul tidak terlaksana. Marilah kita sama-sama mewujudkan individu muslim, keluarga muslim, masyarakat muslim dan seterusnya negara Islam serta berpegang teguhlah kita dengan tali ukhwah persaudaraan yang kukuh, ikhlaskan niat kita dan beramallah kerana Allah.

Kesimpulannya, Islam adalah suatu agama fitrah dan ia mampu menangani apa jua isu dan zaman. Setiap kali ia diserang akan pasti ada pembela, setiap kali ia dituduh akan pasti ada peguam yang membelanya dan setiap kali Islam ditahan akan pasti ada tentera yang membebaskannya. Allah pasti sahaja memenangkan agamanya sekalipun terdapat pelbagai usaha dari pihak Orentalis dan Barat untuk memadamkan api cahaya Allah S.W.T. Berasakan kepada keyakinan ini, maka wajib keatas setiap muslimin dan pemuda sebahagian daripadanya untuk bekerja keras dalam menerima kemenangan itu dengan penuh kesediaan apabila tiba masanya kelak. Sesungguhnya sembahyang kita, ibadah kita, hidup kita dan mati kita adalah semata-mata bagi Allah tuhan semesta alam, tiada sekutu baginya.


RUJUKAN

2)      Ibnu Qayyim. 1996. Zaadul Maa’d fi Hadyil Khairat. Cetakan Muassasatur Risalah :  Beirut.

3)      Riduan Mohamad Nor. 2010. Memperingati seratus tahun Hassan al-Banna. Jundi resource : Kuala Lumpur.
4)      Said Ramadhan al Buti Fiqh Sirah. 1992. Darul Fikri : Beirut.
5)      Zainudin Hashim Riduan Mohamad Nor. 2010. Tokoh- Tokoh Gerakan Islam Abad Moden. Jundi resource : Kuala Lumpur.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan